KUALA TERENGGANU – Kegiatan sebuah sindiket rokok seludup bergelar ah long yang aktif di bandar raya ini sejak beberapa bulan lalu berjaya ditumpaskan polis pada Rabu lalu.
Serbuan berasingan di dua pangsapuri di bandar raya berkenaan berjaya menahan empat lelaki berusia lingkungan 26 hingga 34 tahun yang disyaki anggota sindiket berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, modus operandi sindiket ini ialah memasarkan bekalan rokok disyaki tanpa cukai tersebut kepada pengusaha kedai runcit dan peniaga kecil di sekitar bandar raya ini.
“Sewaktu melakukan urus niaga rokok seludup berkenaan, mereka juga akan menawarkan kemudahan pinjaman wang tanpa lesen kepada peniaga terbabit.
“Berdasarkan semakan awal, seramai antara 10 hingga 15 individu telah mendapatkan perkhidmatan pinjaman wang daripada sindiket berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, serbuan di sebuah pangsapuri dekat Pulau Kambing turut menemui wang tunai kira-kira RM86,000 yang disimpan di dalam sebuah peti simpanan.
Tambah beliau, polis juga menjumpai 200 karton rokok disyaki tanpa cukai manakala 26 karton rokok seludup lain pula ditemui dalam serbuan kedua di sebuah pangsapuri berasingan di pusat bandar raya ini pada pukul 11 pagi semalam. – KOSMO! ONLINE