fbpx

Setahun tragedi kepala air Gunung Jerai, penduduk masih trauma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAWASAN Chalet Salak Denai yang kembali bersih dan indah selepas mengalami proses baik pulih daripada tragedi kepala air di Gunung Jerai, Yan.

YAN – Seorang pengusaha chalet enggan berpindah walaupun mengetahui tragedi kepala air di Gunung Jerai mungkin akan berulang kerana dia hanya bergantung kepada perniagaan itu untuk menyara keluarganya.

Syazwan Anas Abdul Mutalib, 40, berkata, dia bersama isteri, Nur Hidayah Yusuf, 37, serta lima anak berusia antara tiga hingga 12 tahun itu masih tinggal di kawasan kediaman lama mereka iaitu di Chalet Salak Denai.

“Perniagaan saya sudah beroperasi semula sejak Disember tahun lalu. Sambutan pengunjung juga semakin rancak dari sehari ke sehari seperti sebelum tragedi tersebut berlaku.

“Kami juga memberi nasihat kepada pengunjung untuk lebih berwaspada dengan keadaan cuaca dan akan pulangkan semua duit jika mereka rasa tak selamat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Syazwan Anas merupakan cucu mangsa kelima yang maut tragedi kepala air di Gunung Jerai tersebut.

CHALET Salak Denai kembali beroperasi sejak Disember tahun lalu selepas dibaik pulih oleh Syazwan Anas.

Mangsa merupakan seorang bekas imam Masjid Yan, Ku ­Shuib Ku Abdullah, 91, dan mayatnya ditemui pasukan penyelamat di bawah timbunan kayu dan bongkah batu lima hari selepas kejadian.

Menurut Syazwan Anas, neneknya, Kalsom Abdullah, 86, yang sebelum ini tinggal bersama mereka kini dalam keadaan sihat dan kini menetap bersama anaknya di Kampung Dulang, di sini.

Mengakui masih trauma de­ngan kejadian itu walaupun telah setahun berlalu, Syazwan Anas memberitahu, dia telah bangkit semula dengan membaik pulih empat chalet miliknya selepas ia rosak akibat dibadai kepala air.

Tambahnya, perasaan trauma itu akan timbul ke atas dirinya dan penduduk kampung terutama ketika hujan berlarutan selama beberapa jam.

“Setakat ini belum ada lagi tragedi serupa seperti yang berlaku pada 18 Ogos tahun lalu, namun kami sekeluarga sentiasa berwaspada kerana masih trauma.

“Kami semua akan pergi bermalam di rumah ibu bapa mertua di Kampung Permatang Chengai yang terletak berdekatan setiap kali hujan lebat berpanjangan kerana bimbangkan keselamatan diri,” katanya.

Ujar Syazwan Anas, rasa takut dan risau itu timbul setiap kali mereka mendengar bunyi batu bergolek dalam sungai dan apabila nampak paras air sungai tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI