fbpx

Selepas lebih sedekad, Hospital Bera siap beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri Yaakob menandatangani plak perasmian Hospital Bera di Bera hari ini.

BERA – Selepas lebih 10 tahun penantian, akhirnya impian kira-kira 150,000 penduduk daerah ini tercapai apabila Hospital Bera yang beberapa kali terbengkalai siap dan beroperasi bermula bulan lepas.

Hospital seluas 13 hektar itu mula beroperasi secara berperingkat pada 1 Julai lalu dengan pembukaan Unit Kecemasan dan Trauma serta Pusat Penilaian Pesakit diikuti pembukaan Dewan Bersalin dan Unit Pesakit Dalam pada 2 Ogos lalu.

Pembukaan hospital bernilai RM92.5 juta yang mempunyai empat blok dan 40 katil itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera.

Ismail Sabri berkata, majlis perasmian Hospital Bera itu menjadi bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam membangun serta menyediakan kemudahan kesihatan bagi Keluarga Malaysia menikmati perkhidmatan kesihatan yang baik dan berkualiti.

“Saya sempat meninjau perkembangan pembinaan hospital ini pada Oktober tahun lalu yang ketika itu sudah siap 98 peratus selepas terbengkalai sejak sekian lama akibat kegagalan kontraktor.

“Alhamdulillah hospital yang mula dibina pada 2010 ini berjaya juga disiapkan, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya dan pihak berkepentingan yang lain kerana bekerjasama merealisasikan pembinaan Hospital Bera ini,”katanya pada Majlis Perasmian Hospital Bera, di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri sejarah pembinaan hospital tersebut amat bermakna memandangkan individu bertanggungjawab yang membawa kepada pembukaan hospital ini adalah Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Katanya, Almarhun Seri Paduka Baginda Sultan Ahmad Shah yang menyempunakan majlis pecah tanah pada 2008 berkenan bertemu sendiri dengan menteri kesihatan pada ketika itu bagi merealisasikan pembinaan hospital berkenaan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Hospital Bera merupakan Hospital Daerah Tanpa Pakar yang diletakkan di bawah Program Hospital Kluster Pahang Tengah yang diterajui Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Katanya, pada masa akan datang pihaknya merancang menambahbaik fasiliti hospital tersebut termasuklah pembinaan dewan bedah dengan kos kira-kira RM9 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI