SEBUT sahaja mengenai penyakit bernama skoliosis atau tulang belakang melengkung, pasti dalam kalangan kita berasa ngeri tatkala cuba membayangkannya.
Di negara ini, penyakit tersebut bukanlah satu perkara yang baharu dan ratusan ribu kes sudah dicatatkan termasuklah dalam kalangan selebriti terkenal.
Terbaharu, penyanyi popular Zamani yang sinonim menerusi lagu-lagu bergenre pop rock turut terkesan dengan penyakit berkenaan.
Mula didiagnos sejak 2015, tahap kesihatan vokalis kumpulan Slam itu semakin merisaukan sejak akhir-akhir ini apabila tulang belakangnya sudah mula menghimpit bahagian tulang rusuk, jantung dan paru-paru.
Keadaan fizikal badannya yang semakin membengkok dan tidak dapat berdiri terlalu lama terutama ketika mengadakan persembahan mendesaknya untuk melakukan pembedahan major pada bahagian tulang belakang yang akan dijalaninya pada awal November depan.
Selain Zamani yang begitu popular menerusi lagu Gerimis Mengundang dan Tak Mungkin Berpaling, Gala minggu ini membariskan beberapa nama selebriti luar negara lain yang turut pernah menderita masalah sama sehingga menjejaskan karier mereka.
Jessica Mila
Aktres kelahiran Indonesia berdarah kacukan Belanda, Jessica Mila mula menghidap skoliosis sejak berada di bangku sekolah menengah sekitar 15 tahun lalu.
Jessica, 30, pernah berkongsi foto keadaan tulang belakangnya yang membengkok seperti huruf ‘s’ dalam Instagram sebelum pembedahan dilakukan pada 2020.
Kongsinya, pelbagai alternatif telah dilakukannya agar kembali sembuh dan dapat bekerja seperti biasa selepas pembedahan berjalan.
“Apapun berlaku, saya harus tetap rajin bersenam, menjaga pola pemakanan dan mendapatkan tidur yang cukup.
“Kalau saya tidak mengawal semua ini, sakit itu (skoliosis) akan menyerang semula dan menjadikan fizikal bertambah lemah,” katanya yang kini sudah kembali aktif dalam dunia seni setelah beberapa tahun menderita.
Jet Li
Pelakon aksi terkenal China, Jet Li juga antara mangsa penghidap penyakit skoliosis yang semakin serius.
Jet Li atau nama sebenarnya Li Lianjie yang popular menerusi filem Lethal Weapon V dilaporkan mengihdap penyakit tersebut sejak sembilan tahun lalu iaitu pada 2013.
Sebelum peminat mengetahui tentang penyakit yang dihidapinya, sekeping foto yang merakamkan wajah terbaharu Jet Li sekitar 2018 tular dalam media sosial memaparkan dia perlu dibantu untuk berjalan dan tidak boleh berdiri lama.
Semuanya terjawab apabila pelakon berusia 59 tahun itu membuat pendedahan secara terbuka mengenai penyakit skoliosis yang dihidapi selepas sekian lama tidak muncul di khalayak ramai.
Dedah aktor itu, penyakit tulang belakang bengkok yang dihidapinya dipercayai berpunca akibat kecederaan lampau ketika banyak melakukan aksi lasak dalam lakonannya sekitar penghujung 1990 hingga 2000.
Gracia Indri
Seorang lagi penyanyi, model dan pelakon Indonesia, Gracia Indri juga pernah didiagnos menghidap penyakit skoliosis beberapa tahun lalu.
Kongsi Gracia, 33, postur tulang belakangnya sudah melengkung hingga 45 darjah dan keadaan tersebut berlaku disebabkan kedua-dua kakinya yang tidak dapat menampung berat badannya ketika itu.
“Skoliosis itu memang benar. Saya pernah derita penyakit ini hingga tulang belakang menjadi bengkok akibat tidak dapat menampung berat badan yang berlebihan.
“Sejak itu, selepas pembedahan berjalan, rutin harian saya pasti yang sihat-sihat sahaja seperti bersenam, berjoging dan mengawal pemakanan,” katanya yang menasihati agar semua mengawal berat badan sejak dari usia muda.
Hrithik Roshan
Mungkin ramai tidak tahu, aktor kacak kelahiran Mumbai, India, Hrithik Roshan juga pernah menjadi salah seorang mangsa penyakit skoliosis.
Selain memiliki kemampuan hebat dalam lakonan, Roshan, 48, turut terkenal dengan bakatnya yang pandai menari sejak usia muda.
Ketika berusia 21 tahun, Roshan didiagnos menghidap penyakit skoliosis yang membuatkan dirinya tidak dapat berdiri tegak dan lama.
Pun begitu, mengenang kembali kemampuan untuk seseorang pelakon Bollywood menari sebagai salah satu syarat, hal tersebut diketepikan Roshan untuk terus berjuang melawan ujian tersebut hingga kini pulih sepenuhnya.