KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan yang juga orang kelainan upaya (OKU) lembam menjadi mangsa kerakusan dua kenalan bapanya selepas dipercayai dirogol beberapa kali oleh dua lelaki terbabit.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika kedua-dua suspek menumpang di rumah mereka sekitar Bukit Jalil dan bapa mangsa hanya mengetahui perkara tersebut selepas anaknya yang berusia 13 tahun mengadu sakit perut dan pinggang.
Menurut sumber, lelaki berkenaan juga telah membawa anaknya untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati terdapat kesan anaknya pernah melakukan hubungan seks.
“Lebih menyedihkan apabila mangsa memberitahu telah dirogol beberapa kali oleh kedua-dua suspek ketika bapanya tiada di rumah,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Kita telah menerima laporan polis yang dibuat bapa mangsa di Balai Polis Bukit Jalil pada Selasa lalu.
“Kes ini diserah dan disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.