IMPIAN atlet lempar cakera kebangsaan, Queenie Ting Kung Ni untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri tidak kesampaian apabila hanya kurang 1.04 meter (m) ketika bersaing pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 kelmarin.
Atlet berusia 24 tahun itu bertekad untuk membawa pulang RM20,000 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya berjaya memecahkan rekod kebangsaan di SUKIPT 2022.
Bagaimanapun, Queenie Ting hanya mampu melakukan lemparan sejauh 51.32m di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berbanding catatan 52.36m ketika dilakukannya di Sukan SEA Vietnam Mei lalu,
Bagaimanapun, atlet dari Sarawak tersebut tetap berbangga dengan pecapaiannya kerana ini kali pertama dia melakukan lemparan lebih 51m pada saingan yang berlangsung di negara sendiri.
“Saya tak pernah rasa gugup bila menyertai pertandingan di Malaysia, kerana tahu mampu melakukannya. Tetapi, di SUKIPT 2022, aura sedikit berlainan terutama cabaran merebut RM20,000.
“Sebenarnya saya rasa bermotivasi kerana saya ada misi besar di sini. Saya bersyukur kerana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi peluang seperti ini.
“Apapun, saya gembira dengan prestasi saya kerana ketika menyertai pertandingan tempatan saya tak pernah kekal konsisten melakukan lemparan lebih dari 51m ke atas,” katanya.
Dalam pada itu, Queenie turut mengakui bahawa jadual padat bukan satu faktor dia gagal memecahkan rekod kebangsaan.
“SUKIPT 2022 adalah prestasi terbaik saya jika dibandingkan pingat emas yang saya raih sewaktu Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 dan juga di Turki.
“Ini pengalaman baharu, saya sertai tiga temasya berturut-turut dalam satu bulan dan saya berjaya kawal prestasi. Kalau saya perbaiki teknik lemparan, mungkin boleh pecah rekod kebangsaan di sini,” ujarnya.