PARIT – Kerajaan negeri dalam rangka menyiapkan kertas kerja bagi pemberian insentif bulanan buat pemegang rekod 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamad berkata, kertas kerja berkenaan bertujuan menambah insentif bulanan Azeem agar terus memberi komitmen menjadi atlet serta mewakili Perak dalam acara pecut 100m.
Menurut Khairul Shahril, buat masa ini Azeem hanya menerima elaun bulanan sebanyak RM700 sebulan daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.
“Baru-baru ini kita sudah angkat satu kertas kerja untuk kita bantu Azeem cuma Menterj Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memberi pandangan untuk diperkembangkan dan kenapa sikit sangat (jumlah).
“Kita sedang menyiapkan dan mengambil kira semua aspek dalam perkara ini kerana kita kena faham ramai atlet (Perak) ada yang menjadi juara dunia,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Landas Bot Lambor, anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPNP) di Lambor Kanan, Bota semalam.
Khairul Shahril turut memaklumkan kertas kerja tersebut juga akan dijadikan penanda aras dalam menentukan pemberian insentif kepada atlet-atlet Perak yang berjaya di peringkat antarabangsa seperti Azeem.
“Kita tidak mahu hanya memberi tumpuan kepada Azeem nanti takut dilihat seperti kita cuma mengiktiraf olahraga sebagai sukan sedangkan kita mahu ambil kira keseluruhan atlet dan bukan tertumpu pada satu-satu acara sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai tindakan Azeem menolak tawaran menjadi atlet profesional antarabangsa yang ditawarkan, Khairul Shahril berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan tersebut.
Katanya, beliau menghormati keputusan tersebut kerana Azeem lebih mengetahui bahawa pendidikan merupakan elemen penting meskipun bergelar sebagai atlet.
“Saya secara peribadi amat menyokong keputusan dibuat Azeem kerana dia sendiri bagi tahu jangka masa aktif di dalam sukan tidak ada tanda aras sehingga bila dia mahu bersukan.
“Ini juga memang penekanan kerajaan negeri serta MSN Perak di mana konsep sukan adalah sebagai kerjaya bukan sahaja dari segi pekerjaan tetapi juga pendidikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE