SHAH ALAM – Golongan muda digalakkan melontarkan idea dan aspirasi terhadap segala pemasalahan dihadapi mereka kepada kerajaan.
Pandangan itu boleh disalurkan bermula hari ini menerusi laman sesawang https://www.ideabinanegara.my/.
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria berkata, isu yang dekat dalam kalangan belia ketika ini lebih kepada peluang pekerjaan dan pendidikan.
Katanya, tahun ini sahaja kerajaan telah memberikan jaminan 600,000 peluang pekerjaan menerusi kerjasama Kementerian Sumber Manusia selain meningkatkan kemahiran di kalangan anak muda.
“Kita dapati keprihatinan kerajaan yang tidak akan membiarkan anak muda negara ini tanpa hala tuju.
“Anak muda adalah yang akan mewarisi negara kita dan mereka perlu bijak untuk menentukan kerajaan yang berupaya memastikan negara ini sentiasa aman dan sentosa,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu beliau menyempurnakan Pra-Pelancaran Program Idea Bina Negara Anak Muda Keluarga Malaysia di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Selangor di pekarangan Stadium Shah Alam.
Sollehuddin memberitahu, kajian sikap anak muda telah lama dilakukan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan sentiasa melibatkan penglibatan golongan itu.
Bagaimanapun ujarnya, program Idea Bina Negara Anak Muda itu adalah lebih mendalam bagi memupuk dan menunjukkan kepada golongan muda bahawa kerajaan sentiasa bersama mereka.
“Idea yang diterima juga bertujan dalam merangka belanjawan bagi tahun 2023 selain memupuk semangat cintakan negara dan patriotisme di kalangan anak muda,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan program tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 4 Oktober depan yang akan turut disertai 25,000 anak muda secara penstriman langsung. -KOSMO!ONLINE