NEW DELHI – Seorang pegawai polis di Chhatarpur, negeri Madhya Pradesh digantung tugas apabila tindakannya meminta bantuan bomoh untuk membongkar kes bunuh seorang remaja perempuan diketahui oleh pihak atasan, lapor laman Gulf News semalam.
Arahan penggantungan tersebut dikeluarkan selepas sebuah klip video memaparkan pegawai berkenaan meminta bantuan seorang bomoh untuk menjejaki suspek pembunuh tular di media sosial.
“Terdapat beberapa nama dalam senarai ini dan saya akan mengambil beberapa nama. Nama yang tiada dalam senarai anda adalah tertuduh utama,” demikian kata-kata bomoh kepada pegawai tersebut.
Pada 28 Julai lalu, seorang gadis berusia 17 tahun dibunuh dan kes mangsa dikendalikan oleh balai polis Bamitha di daerah Chhatarpur.
Selepas video meminta bantuan bomoh itu muncul di media sosial, orang ramai mula mempersoalkan sistem penyiasatan polis yang menyebabkan pegawai tersebut diarah gantung tugas. – Agensi