fbpx

Mangsa maut dilanggar trak pikap bertukar jadi pendiam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TOYOTA HILUX yang merempuh Muhamad Zulkifli selepas melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Padang Layang, Jalan Salor-Pasir Mas, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Majlis solat hajat sempena pembukaan bengkel baharu seorang mekanik di Mulong di sini bertukar kepada kenduri tahlil selepas lelaki itu maut dirempuh sebuah trak pikap di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor-Pasir Mas di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 tengah hari itu, ­mangsa, Moha­mad Zulkifli Zakaria, 59, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada dada dan patah kaki kiri.

Bagaimanapun, pemandu dan tiga penumpang Toyota Hilux yang merempuh mangsa selepas melanggar lampu isyarat di persimpangan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anak saudara mangsa, Mohd. Faisal Ariffin, 38, berkata, arwah sebelum ini menjalankan perniagaan menjual alat ganti di belakang rumahnya sebelum membuka bengkel di Mulong.

“Arwah sebenarnya teruja untuk menjalankan perniagaan alat gantinya itu. Kami tidak me­nyangka majlis solat hajat pembukaan bengkel malam semalam (kelmarin) bertukar menjadi kenduri tahlil arwah,” katanya.

ALLAHYARHAM MOHAMAD ZULKIFLI

Cerita Mohd. Faisal, dia yang merupakan jiran Mohamad Zulkifli sempat berbual dengan lelaki itu beberapa jam sebelum kemalangan di rumahnya di Kampung Kutan Hulu, Tumpat.

Menurutnya, arwah dilihat tidak ceria dan peramah seperti kebiasaannya, malah hanya bercakap perkara penting.

“Arwah sebelum ini merupakan seorang yang peramah dan suka berbual dengan saya mengenai apa sahaja, namun sebelum kejadian dia tidak banyak bercakap,” ujarnya.

Mohd. Faisal berkata, arwah meninggal isteri dan lima anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kutan Hulu kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal dari arah Tendong menghala ke Jalan Kedai Mulong sebelum berhenti di persimpangan itu ekoran lampu isyarat merah.

Menurutnya, apabila lampu isyarat bertukar hijau, Mohamad Zulkifli meneruskan perjalanannya ke depan.

“Dalam masa yang sama, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu laju dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas ­telah melepasi lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Insiden itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kampung Kutan Hulu, Tumpat tercampak sejauh 20 meter dari motosikalnya ke arah bahu kiri jalan menghala ke Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

KEADAAN motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang seorang mekanik di Kota Bharu kelmarin.

Menurut Mohd. Rosdi, pemandu dan tiga penumpang trak pikap itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut turut mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah,” katanya.

Tambah Mohd. Rosdi, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI