MADRID – Manchester United hampir untuk menamatkan pencarian mereka bagi mendapatkan khidmat pemain tengah bertahan selepas bintang Real Madrid, Casemiro dilapor bersetuju untuk menyertai pasukan itu.
United menawarkan yuran perpindahan bernilai £60 juta (RM320.22 juta) untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 30 tahun berkenaan yang dijangka menjalani ujian perubatan dalam masa terdekat.
Pemain antarabangsa Brazil berkenaan dikatakan sudah mendapat lampu hijau untuk terbang ke Manchester bagi tujuan pemeriksaan kesihatan sebelum melengkapkan perpindahan tersebut.
Jika semuanya berjalan lancar, Casemiro difahamkan bakal menandatangani kontrak selama empat tahun dengan pilihan lanjutan setahun tambahan dan menerima gaji dua kali ganda berbanding di Santiago Bernabeu.
Sekiranya urusan perpindahan tersebut selesai, Casemiro akan menjadi salah seorang pemain yang menerima gaji tertinggi di Old Trafford apabila akan dibayar £350,000 (RM1.86 juta) menyamai pendapatan yang diterima David De Gea.
Laporan di Sepanyol menyebut bahawa Casemiro menerima tawaran daripada United adalah berdasarkan faktor kesukanan dalam usaha mencari cabaran baharu selepas dia telah memenangi segala-galanya bersama Real.
Selepas dua kekalahan yang dialami sebelum ini, United dilaporkan mahu urusan perpindahan Casemiro ini disegerakan supaya dia dapat didaftarkan untuk bersama pasukan itu menyertai aksi menentang Liverpool awal pagi Selasa nanti. – AGENSI