LONDON — Kes baharu Covid-19 dilaporkan menurun hampir satu perempat di seluruh dunia pada minggu lalu, manakala kematian susut enam peratus tetapi masih tinggi di beberapa kawasan di rantau Asia, menurut laporan pandemik Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) kelmarin.
WHO menyatakan, terdapat 5.4 juta kes baharu COVID-19 dilaporkan minggu lalu iaitu penurunan sebanyak 24 peratus berbanding minggu sebelumnya. Jangkitan susut di seluruh dunia termasuk hampir 40 peratus dii Afrika dan Eropah dan satu pertiga di Asia Barat.
Angka kematian Covid-19 bagaimanapun meningkat di Pasifik Barat dan Asia Tenggara dengan masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 31 peratus dan 12 peratus tetapi menurun atau kekal stabil di tempat -tempat lain.
Pada taklimat akhbar Rabu lalu, Ketua Pengarah WHO , Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kematian akibat Covid-19 yang dilaporkan sepanjang bulan lalu telah melonjak sebanyak 35 peratus, manakala terdapat 15,000 kematian pada minggu lalu.
“15,000 kematian seminggu adalah angka yang tidak boleh diterima sama sekali kerana kita mempunyai semua alat untuk mencegah jangkitan dan menyelamatkan nyawa,” kata Tedros.
Beliau berkata, bilangan jujukan virus yang dikongsi setiap minggu telah merosot sehingga 90 peratus, menjadikannya amat sukar bagi saintis-saintis untuk memantau bagaimana COVID-19 mungkin bermutasi.
“Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada kita yang tidak berdaya.Sila dapatkan vaksinasi jika anda belum mendapatkannya dan jika anda memerlukan, dapatkan dos penggalak, dapatkan satu,” kata Tedros.
Kelmarin, kumpulan penasihat vaksin WHO mengesyorkan buat kali pertama supaya golongan orang yang paling terdedah kepada jangkitan Covid-19 termasuk orang tua, mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan pekerja kesihatan supaya mendapatkan suntikan penggalak kedua. Banyak agensi kesihatan dan negara lain membuat cadangan sama beberapa bulan lalu.
Kumpulan pakar itu juga berkata, mereka telah menilai data daripada vaksin Pfizer-BioNTech dan Moderna untuk golongan muda dan berkata kanak-kanak dan remaja berada dalam kumpulan keutamaan terendah untuk vaksinasi, kerana risiko mereka mendapat jangkitan teruk adalah amat rendah.
Awal minggu ini, pihak berkuasa Britain membenarkan versi terkini vaksin Covid-19 Moderna yang menyasarkan varian Omicron dan kerajaan Britain mengumumkan bahawa vaksin itu akan ditawarkan kepada mereka yang berusia lebih 50 tahun mulai bulan depan. – Agensi