SHAH ALAM – Kerajaan negeri memantau rapat situasi terkini berhubung paras air di beberapa sungai utama serta kadar taburan hujan semasa di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua agensi berkaitan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia.
“Saya turut terima laporan banjir kilat di sekitar Sri Muda.
“Pintu air telah dibuka sebagai usaha untuk mempercepatkan air surut,” katannya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya.
Sementara itu, berdasarkan portal infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang berada di paras bahaya dengan trend menaik.
Setakat pukul 7.50 malam, bacaan paras air di sungai tersebut melebihi paras bahaya 11.12 meter (m).
Dua sungai iaitu Sungai Langat di Pekan Kajang dan Taman West Country Kajang dikategorikan sebagai amaran dengan paras masing-masing 25.91m serta 22.23m.
Selain itu, Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang diletakkan pada situasi waspada. -KOSMO!ONLINE