NEW DELHI – Wilayah ibu negara Delhi (NCR) di India kini berdepan serangan berganda demam virus dan wabak Covid-19 yang paling teruk setakat ini, lapor laman India Today kelmarin.
Lapan daripada 10 isi rumah di NCR terjejas akibat dua virus tersebut dalam tempoh 30 hari lalu, demikian pendedahan berdasarkan kaji selidik oleh media tempatan, LocalCircles.
Anggota isi rumah yang terjejas telah mengalami simptom menyerupai i Covid-19 seperti demam, hidung berair dan keletihan.
Dalam kebanyakan kes, orang ramai nampaknya lebih cenderung menggunakan kit ujian pantas di rumah untuk memeriksa sama ada mereka menghidap Covid-19 atau demam virus berbanding menjalani pemeriksaan di klinik serta hospital.
Walau apa pun keadaannya, kedua-dua jangkitan berisiko merebak kepada ahli keluarga yang lain terutamanya kanak-kanak.
Angka menunjukkan pertambahan dua kali ganda isi rumah yang terjejas pada musim tengkujuh ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Sebanyak 41 peratus isi rumah melaporkan bahawa sekurang-kurangnya seorang dalam keluarga mereka tidak sihat antara Julai hingga Ogos tahun lepas berbanding 82 peratus isi rumah tahun ini.
Kes Covid-19 berkemungkinan menyumbang kepada lonjakan kes berkaitan demam virus bagi tahun ini.
“Adalah penting untuk kita sedar bahawa pandemik masih jauh daripada berakhir. Saya merayu kepada semua supaya mematuhi peraturan berkaitan Covid-19.
“Kita tidak boleh bersikap leka atau mengabaikan penjagaan diri,” kata Leftenan Gabenor Delhi, VK Saxena minggu ini.
Gesaan itu dibuat ketika Delhi melaporkan 917 kes baharu Covid-19 dengan kadar positif ujian pada tahap 20 peratus dan tiga kematian dalam tempoh 24 jam.
Selain Covid-19, pengamal perubatan dan hospital turut melaporkan peningkatan jumlah kes virus atau selesema.
Dalam kebanyakan kes, orang ramai mengadu tentang hidung berair, sakit kepala, sakit tekak dan keletihan. – Agensi