KUALA LUMPUR – Tanggal 20 Ogos 2022 tentunya menjadi tarikh paling diingati buat atlet lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi.
Apa tidaknya, Sarah berjaya meraih pingat perak Kejohanan Lompat Bergalah Busan 2022 di Korea Selatan sebentar tadi sekali gus merupakan hadiah paling bermakna buatnya yang genap usia 22 tahun hari ini.
Bukan itu sahaja, catatan yang dilakukannya sebentar tadi iaitu 4.00 meter (m) secara tidak langsung menyamai rekod peribadinya sewaktu muncul juara Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam pada Mei lalu.
“Saya seronok sangat sebab hari ini hari jadi saya. Seronok sangat hari ini juga saya dapat lompat, menyamai rekod peribadi dan menang perak.
“Saya amat bersyukur kerana siapalah saya underdog kalau nak dibandingkan dengan sembilan lagi atlet lain. Seronok dapat AS$2,000 (RM8,953) untuk tambah duit dalam Tabong Budok Hebat saya.
“Hari yang sangat hebat untuk saya. Selamat hari lahir, saya bangga dengan diri saya,” luahnya dalam hantaran di laman sosial Instagram miliknya sebentar tadi.
Ia adalah kejayaan podium antarabangsa kali keempat berturut-turut buat atlet dari Maran, Pahang itu dalam tahun ini sejak mula menempa nama di pentas Sukan SEA Hanoi 2021.
Selepas itu, Sarah tidak lagi menoleh ke belakang apabil meraih tempat kedua pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand dengan catatan 3.70m bulan lalu.
Atlet dari Maran, Pahang itu kemudiannya memenangi pingat gangsa pula pada Sukan Perpaduan Islam 2022 di Konya, Turki awal bulan ini selepas berjaya melepasi had ketinggian 3.90m. – KOSMO! ONLINE