fbpx

Guru di P. Pinang lari 5km bawa Jalur Gemilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EMPAT guru menerima sorakan gemuruh pelajar selepas menamatkan larian 5km sempena sambutan Bulan Kemerdekaan di SK Seri Permai, Jalan Tengah, George Town, baru-baru ini.- Gambar IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Sekumpulan guru dari Sekolah Kebangsaan Seri Permai di Jalan Tengah di sini memilih pendekatan berbeza dalam meraikan Bulan Kemerdekaan dengan berlari sambil membawa Jalur Gemilang sejauh 5 kilometer (km), baru-baru ini.

Larian empat guru itu bermula dari Jabatan Pendidikan Ne­geri (JPN) di Bukit Gambir hingga ke pekarangan sekolah sebelum disambut sorakan gemuruh para pelajar sebaik tiba.

Guru Besar sekolah itu, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail berkata, La­rian Jalur Gemilang berkenaan adalah simbolik program Bulan Kemerdekaan yang pertama kali dianjurkan sekolah berkenaan.

Menurutnya, program tersebut disusuli Larian Merentas Desa Merdeka oleh murid-murid sambil membawa Jalur Gemilang mengelilingi kawasan sekolah.

“Program ini bertujuan me­nerapkan semangat cintakan tanah air dalam kalangan guru dan murid selain membangkitkan rasa semangat serta kasih sayang terhadap negara sendiri.

“Kesemua pelajar juga berpeluang mempelajari erti dan nilai kemerdekaan serta keamanan negara yang dicapai sehingga sekarang.

“Pada masa sama, kita mahu memupuk semangat berbilang kaum yang bertepatan dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia’,” katanya di sini.

Hadir sama meraikan program buat julung kali itu ialah Yang Dipertua (YDP) PIBG SK Seri, Shahrizal Md. Noor.

Tambah Mohammad Sabarullah, penganjuran 13 program sepanjang Ogos ini juga mampu menambahkan ilmu pengetahuan tentang ilmu sejarah dalam kalangan guru serta murid.

Jelasnya, antara program yang bakal diadakan di sekolah ­berkenaan adalah Daie Cilik, Pakaian Seragam bertemakan pahlawan Kemerdekaan, Keceriaan Kelas dan Pameran ­Kemerdekaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI