JOHOR BAHRU – Kebimbangan sebuah keluarga yang kehilangan anak perempuan mereka sejak Sabtu lalu berakhir apabila remaja itu ditemui selamat semalam.
Bapa tiri kepada remaja autism itu, Mohd. Azmi Abdullah, 40, berkata, Nur Elyana Adryna Abdul Rahim, 16, ditemui kira-kira pukul 2 petang di Tanah Merah, Kelantan.
“Alhamdulillah, kakak telah ditemui di Tanah Merah, Kelantan. Syukur, dia dalam keadaan selamat. Saya dimaklumkan perkara itu oleh pihak polis pada kira-kira pukul 2 petang sebelum terus bergegas ke sana.
“Setibanya di sana, saya terus memeriksa keadaan kakak (Nur Elyana Adryna) dan dapati dia dalam keadaan baik, tiada luka atau lebam-lebam cuma sedikit kurus.
“Dia dikatakan tidak diberi makan secukupnya sepanjang tempoh enam hari dibawa seseorang individu yang kami tidak kenal sejak kehilangannya dilaporkan pada Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Azmi, dia mendapat maklumat daripada orang awam bahawa terdapat kemungkinan anaknya berada di satu lokasi di Tanah Merah, Kelantan sehari sebelum Nur Elyana Adryna ditemui.
“Ada orang beritahu saya lokasi kakak, saya terus menghubungi polis di sana dan beritahu perkara itu sebelum akhirnya mereka berjaya menemui anak kedua saya.
“Polis juga maklumkan individu yang bertindak membawa kakak dari Johor sehingga ke Kelantan itu telah ditangkap dan siasatan berhubung perkara itu sedang dibuat,” katanya.
Mohd. Azmi turut memberitahu, Nur Elyana Adryna kelihatan sedikit trauma, namun dia tetap bersyukur kerana gadis autism tersebut telah selamat kembali dalam pangkuan keluarga.
Terdahulu, Mohd. Azmi memberitahu, anak gadisnya itu telah dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman keluarga mereka di Bandar Putra, Kulai petang Sabtu lalu.
Menurutnya, perasaan risau timbul kerana walaupun Nur Elyana Adryna kelihatan seperti individu normal lain, namun dia menghidap autism yang menyebabkan pemikirannya seperti seorang kanak-kanak yang berusia 10 tahun dan tidak dapat berfikir secara matang. – KOSMO! ONLINE