fbpx

China beli 80 tan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERMINTAAN untuk emas di China berterusan meningkat - AFP

BEIJING – China membeli  lebih 80 tan emas dari Switzerland  bulan lepas, lapor laman berita RT kelmarin yang memetik data Kastam Persekutuan Switzerland. 

Jumlah import emas tersebut  dilaporkan lebih dua kali ganda daripada pembelian emas pada Jun lalu dan  dan lapan kali ganda lebih banyak berbanding Mei tahun ini.

Lonjakan import emas Beijing dilaporkan berada pada paras tertinggi dalam tempoh  lima tahun. Perkembangan itu  menunjukkan bahawa permintaan China untuk logam berharga semakin meningkat, selepas reda akibat perintah berkurung  Covid-19 yang berkuat kuasa  di bandar-bandar utama di negara itu.

“Pasaran emas masih belum boleh dikatakan hebat, namun  ia nyata  jauh lebih baik berbanding April 2022,” kata Pengarah Urusan firma perunding  Metals Focus, Nikos Kavalis.

Laporan sama menekankan bahawa harga emas China membawa premium atau keuntungan kira-kira AS$7 (RM31.36) berbanding harga antarabangsa sekali gus  menggalakkan pelabur di China meningkatkan jumlah import mereka.

Bagaimanapun, semua pe­ng­import emas di negara komunis itu memerlukan lesen daripada pemerintah.

Harga emas global susut di bawah paras  AS$1,700 (RM7,616) untuk satu auns (28.3 gram) bulan lalu berbanding lebih AS$2,000 (RM8, 960) awal tahun ini berikutan peningkatan kadar faedah yang mencetuskan penjualan besar-besaran oleh pelabur Barat. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI