KLANG – Tiga majikan dicekup manakala tujuh wanita warga asing diselamatkan selepas menjadi mangsa pemerdagangan manusia sekitar Bandar Botanik 2, di sini semalam.
Dalam serbuan operasi kira-kira pukul 8.30 malam, tiga majikan tempatan itu termasuk seorang wanita berusia antara 33 hingga 67 tahun.
Manakala tujuh diselamatkan berumur lingkungan 30 hingga 43 tahun dalam operasi dijalankan Bahagian D3 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang diketuai Ketua Ketua Penolong Pengarahnya, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Klang Selatan dan Jabatan Tenaga Kerja Cawangan Klang.
Sepanjang operasi itu, turut menahan 15 lagi wanita warga asing kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri sah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan siasatan dijalankan menunjukkan kesemua mangsa terdedah eksploitasi kerja paksa di sebuah rumah di lokaliti tersebut.
Katanya, mangsa telah dijanjikan pekerjaan tukang cuci di syarikat yang sah dan mempunyai kontrak kerja serta permit kerja yang sah semasa berada di negara asal.
“Bagaimanapun sampai di negara ini, mereka dipaksa bekerja sebagai tukang cuci harian yang dihantar daripada rumah ke rumah, pejabat, kilang dan tadika.
“Selain itu, kesemua mangsa juga telah diarahkan tinggal serumah bersama majikan dan ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, pergerakan mangsa juga dikawal kerana pasport dan telefon bimbit dipegang oleh majikan.
Tegas Hoong Fong, mangsa-mangsa juga tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa kebenaran.
“Mangsa rasa telah ditipu dan diperdaya oleh janji agen dan majikannya. Tiga suspek iaitu majikan telah direman selama enam hari sehingga 25 Ogos ini,” ujarnya.
Beliau menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63. -KOSMO! ONLINE.