LEICESTER – Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers memberitahu bahawa dia tidak keberatan untuk mengetepikan khidmat pemain pertahanan, Wesley Fofana daripada skuadnya menentang Southampton.
Rodgers berpendapat bahawa pemainnya itu berada dalam keadaan bercelaru dan hilang fokus selepas berterusan dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea biarpun mengakui pemain itu tidak mengemukakan permohonan untuk meninggalkan kelab berkenaan.
“Secara mentalnya, dia masih pemain yang baik, tetapi anda boleh bayangkan seorang pemain berusia 21 tahun menerima tumpuan sebegitu rupa. Bercakap mengenai pendapatan besar yang bakal diperoleh dan di mana dia akan beraksi adalah suatu yang mencabar untuk Fofana.
“Anda perlu ingat bahawa dia masih lagi seorang pemain muda. Ia mungkin kali pertama dia berdepan situasi seperti ini. Sedikit sebanyak fokusnya bersama pasukan terganggu dan hilang tumpuan,” jelasnya.
Leicester sebelum ini telah menolak dua tawaran daripada Chelsea dan mereka dijangka menerima tawaran baharu bernilai lebih £80 juta (RM426.95 juta) sekali gus bakal menjadikan Fofana sebagai pemain pertahanan paling mahal di dunia.
Rodgers tanpa berselindung mengakui tidak mahu melepaskan pemain itu dan sudah membuat kenyataan terbuka bahawa Leicester tidak mempunyai hasrat untuk melepaskan Fofana pada jendela perpindahan kali ini.
Bagaimanapun, tawaran lumayan yang diterima mungkin mampu membuatkan mereka mengubah pendirian terutama ketika memerlukan wang untuk menguatkan kelab selain ia adalah tawaran yang dianggap sebagai mega. – AGENSI