fbpx

4 kampung di Johor Bahru, Kulai dinaiki banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APM membantu warga emas meninggalkan kediaman mereka yang dinaiki air di Kampung Laut Batu 10, Skudai, Johor hari ini

JOHOR BAHRU – Hujan lebat yang berterusan selama dua jam pada petang tadi menyebabkan beberapa kawasan penempatan di daerah ini dan Kulai dinaiki air setinggi satu meter.

Tinjauan yang dilakukan akhbar hari ini mendapati kawasan penempatan yang terjejas akibat banjir kilat melibatkan kawasan Kampung Laut Batu 10, Skudai; Kampung Jaya Sepakat dan Taman Aman, Kulai serta Kampung Maju Jaya, di sini.

Menurut laporan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sebanyak 200 buah rumah di Kampung Laut Batu 10 ditenggelami air setinggi satu meter.

Katanya, kejadian banjir kilat berlaku berpunca daripada hujan lebat berterusan selama dua jam selain Sistem perparitan yang tersumbat.

“Kebanyakan penduduk telah keluar dari rumah dan berpindah ke tempat yang lebih tinggi. Anggota APM bertugas di lokasi turut membantu warga emas keluar ke tempat yang selamat.

“Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut bantu memindahkan mangsa menggunakan bot. Tiada kemalangan jiwa di laporkan setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan itu lagi, keadaan banjir mulai surut ketika ini dan tidak ada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Daerah Johor Bahru, banjir kilat pada pukul 3.11 petang disebabkan hujan lebat berterusan selama dua jam dan saliran air longkang yang tersumbat.

Bagi daerah Kulai, banjir kilat yang berlaku pada pukul 4.30 petang berpunca dari hujan berterusan dengan bacaan data hujan turun melebihi 100 milimeter(mm) menyebabkan paras air sungai naik.

“Hujan selama dua jam di Kampung Maju Jaya menyebabkan saliran air longkang tersumbat dan berlaku banjir.

“Keadaan di semua kawasan kini beransur pulih dan perkembangan dari semasa ke semasa akan dikemas kini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI