fbpx

200 penunggang motosikal jelajah 11 masjid di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KON Yeow (tengah) ketika merasmikan Program Jaulah Merdeka Pengimarahan Takmir 3.0 Ride to Khaira Ummah 2022 di Masjid AlBukhary, George Town di sini.

GEORGE TOWN – Seramai 200 penunggang motosikal menyertai program Jaulah Merdeka Pengimarahan Takmir 3.0 Ride to Khaira Ummah 2022 bermula hari ini bagi memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan di Pulau Pinang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Khairul Azman Azizan berkata, pengajuran program dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan NGO Islamic Bikers.

”Kesemua peserta program akan singgah ke 11 buah masjid di lima daerah di Pulau Pinang iaitu bermula di Masjid Albukhary, Sungai Pinang dan berakhir di Masjid Seri Serdang, Kepala Batas.

“Selain menyemarakkan Bulan Kemerdekaan dan kempen kibar Jalur Gemilang, kumpulan penunggang motosikal itu juga turut mempromosi program pengimarahan takmir ke 11 buah masjid tersebut,” katanya ketika ditemui di Masjid AlBukhary di sini hari ini.

Pelepasan konvoi motosikal berkenaan dilaksanakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Antara masjid yang terlibat dalam program hari ini adalah Masjid Batu Feringghi, Masjid Bandar Baru Air Itam, Masjid Titi Teras (Balik Pulau), Masjid Maqbul Teluk Kumbar dan Masjid Sungai Acheh Nibong Tebal.

Turut sama adalah Masjid Lama Sungai Bakap, Masjid Jamek Seberang Jaya, Masjid Jamek Ara Kuda dan Masjid Ibadur Rahman, Seri Serdang Kepala Batas.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihaknya berharap program itu dan lain-lain program sepanjang Bulan Kemerdekaan yang dianjurkan di Pulau Pinang dapat mengingatkan rakyat tentang perjuangan generasi terdahulu untuk mencapai kemerdekaan.

”Malah apa yang lebih penting adalah rakyat berbilang kaum dapat memupuk semangat kemerdekaan yang merangkumi keharmonian, toleransi serta hidup aman dan damai,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI