MENOPAUS bukan satu isu biasa yang boleh dibincangkan secara terbuka berikutan stigma dan impak negatifnya, sehingga menyukarkan golongan wanita memasuki fasa baharu dalam kehidupan.
Berdasarkan data terkini yang diterbitkan Jabatan Perangkaan pada Julai 2021, purata jangka hayat wanita di negara ini adalah selama 78 tahun.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi dan juga Pengerusi Jawatankuasa Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG), Dr. Premitha Damodaran berkata, dengan purata usia menopaus dalam negara sekitar 50 tahun, golongan wanita akan menghabiskan satu pertiga daripada kehidupan mereka tanpa hormon estrogen, sekali gus mengurangkan tahap kesuburan.
Menurutnya, kebimbangan ini tidak hanya berkaitan masalah kesuburan, bahkan mereka berisiko mengalami pelbagai masalah kesihatan dari segi fizikal, sosial, psikologi, seksual dan mental.
“Wanita yang mengalami menopaus lazimnya berisiko tinggi mengalami penyakit jantung koronari, osteoporosis, kanser dan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi.
“Ini akan memberi cabaran kepada mereka menjalani kehidupan mendatang, malah masalah sosio ekonomi dan keluarga berkemungkinan berlaku pada masa sama.
“Persaraan yang memberi kesan pada kewangan serta perubahan fokus peranan menjaga ibu bapa berusia apabila anak mereka sudah dewasa juga memberi kesan terhadap perubahan hormon wanita,” katanya sewaktu majlis pelancaran garis panduan amalan klinikal menopaus di Malaysia baru-baru ini.
Mengulas tentang garis panduan tersebut, Dr. Premitha berkata, uniknya, garis panduan amalan klinikal ini dihasilkan dengan pendekatan wanita berbilang etnik di Malaysia.
“Walaupun menerima pakai garis panduan daripada beberapa organisasi antarabangsa, kami mempertimbangkan aspek agama kerana memahami peranannya yang penting dalam masyarakat kita.
“Setiap wanita yang mengalami menopaus tidak seharusnya berasa malu atau keberatan untuk mendapatkan bantuan daripada kakitangan perubatan profesional,” jelasnya.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar amat berbangga dengan usaha yang diambil untuk mewujudkan garis panduan amalan klinikal bagi pengurusan menopaus di Malaysia.
Menurutnya, ia sememangnya satu pencapaian bersejarah dalam lanskap kesihatan di Malaysia.
“Sebagai salah satu perintis dalam pengurusan garis panduan menopaus di Asia Tenggara, Malaysia membuktikan komitmennya untuk meningkatkan sistem penjagaan kesihatan.
“Di pihak kementerian, kami berhasrat untuk menyokong inisiatif ini dengan memacu usaha meningkatkan kesedaran mengenai menopaus,” katanya.
Tambahnya, menopaus bukan satu isu jelek atau bahan jenaka, sebaliknya kita perlu menggalak dan memperkasakan orang ramai untuk bercakap mengenai perkara ini dengan lebih terbuka dan terhormat.
Ini kerana katanya, wanita terus memainkan peranan utama dalam masyarakat tanpa mengira usia.
“Oleh itu, kita mesti memberi sokongan yang mereka perlukan sebagai sebahagian daripada inisiatif Keluarga Malaysia untuk mewujudkan negara yang lebih berkepelbagaian dan keterangkuman,” ujarnya.
Sementara itu, garis panduan amalan klinikal mengenai pengurusan menopaus boleh didapati menerusi pelbagai platform.
Ia termasuk melalui Kementerian Kesihatan, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia dan Persatuan Menopaus Malaysia.
Garis panduan ini juga boleh diakses menerusi platform Android dan iOS di bawah aplikasi MyMAHTAS.
Ia merangkumi pelbagai maklumat tentang gejala menopaus, penilaian dan pemeriksaan klinikal, pilihan rawatan dan kesannya serta perspektif agama tentang perkara itu.