PUTRAJAYA- Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Tahun 2022 setakat 15 Ogos 2022 dilapokan mencatat peningkatan sehingga 50.35 peratus berbanding 15 April lalu hanya mencatatkan sebanyak 26.4 peratus.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua kementerian digesa meningkatkan prestasi perbelanjaan selain peruntukan tidak dibelanjakan diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk diagihkan semula kepada kementerian memerlukan.
“Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) akan terus meneliti isu dan cabaran semasa bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dalam tempoh RMKe-12 demi Keluarga Malaysia.
“Mesyuarat turut bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi (EPU) menyediakan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 bagi meneliti serta menyemak semula dasar dan sasaran sedia ada agar matlamat pembangunan dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Terdahulu, Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMKe-12 Bilangan 2 Tahun 2022 yang turut dihadiri oleh Menteri Kanan serta ketua agensi dan jabatan.
Perdana Menteri berkata, proses tersebut dijangka bermula pada September tahun ini hingga September 2023.
“Selaras sasaran mencapai status negara berpendapatan tinggi yang inklusif pada tahun 2025, mesyuarat bersetuju membuat pemantauan rapi dan berterusan ke atas pencapaian indikator utama dengan memastikan pelaksanaan intervensi ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia serta konflik geopolitik yang mempengaruhi kenaikan inflasi.
“Selain itu, Malaysia menjadi negara menua pada tahun 2021 dan dijangka menjadi negara tua pada tahun 2044. Negara menua ialah populasi berumur 65 tahun ke atas mencapai 7 peratus daripada jumlah populasi, manakala negara tua ialah populasi berumur 65 tahun ke atas mencapai 14 peratus,” ujarnya.
Sehubungan itu, jelasnya, mesyuarat bersetuju dengan mekanisme mengarus perdana agenda negara menua dan penyediaan satu blueprint Agenda Negara Menua (ANM) diselaraskan oleh EPU.
“Kerajaan komited dalam mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang penghujung tahun 2025 menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang telah mula pada akhir bulan April 2022.
“Pelaksanaan BMTKM akan menggunakan pendekatan baru lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan ketua isi rumah miskin tegar secara mampan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE