GEORGE TOWN – Pertubuhan Pembangunan Ummah Pulau Pinang menggesa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengeluarkan lesen mesra muslim untuk premis makanan di negeri ini bagi tujuan menjaga hak-hak pelanggan Muslim.
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ummah Pulau Pinang, Dr. Zaki Ibrahim berkata, umat Islam di negeri ini berhak berasa selesa apabila keluar untuk menjamu selera di premis yang diurus selia dengan garis panduan menjaga kehormatan pelanggan.
“Oleh itu, kami mencadangkan JHEAIPP diberi kuasa untuk mengeluarkan lesen mesra Muslim kepada gerai makanan dan restoran.
”Garis panduan untuk mendapat sijil pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah lebih baik tetapi kita sedia maklum cabaran dan proses yang panjang untuk mendapat pengiktirafan halal JAKIM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan peniaga Muslim di Sungai Ara yang mengambil bekalan nasi ayam dan nasi itik di kedai peniaga bukan Islam.
JHEAIPP kemudian mengesahkan kedua-dua premis di Sungai Ara dan Persiaran Gurney itu tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Menurutnya, lesen mesra Muslim adalah langkah yang lebih praktikal dan lesen itu dikeluarkan oleh Unit Halal JHEIPP serta diberi kuasa untuk menjalankan pemantauan.
Sementara itu, katanya, pihak berkuasa agama Islam di Pulau Pinang perlu menyediakan mekanisma yang lebih komprehensif agar insiden tular membabitkan premis makanan di Sungai Ara dan Persiaran Gurney tidak berulang.
”Insiden ini mencemar imej Pulau Pinang apabila peniaga sebegini mementingkan keuntungan daripada tanggung jawab dan menghormati pengunjung Islam,” katanya.
Tambahnya, kekeliruan berlaku apabila pekerja-pekerja kedai itu adalah orang Islam dan proses penyediaan makanan berlaku di tempat berasingan.
”Perkara ini juga disahkan oleh JHEAIPP yang mendapati makanan dimasak di cawangan Persiaran Gurney turut dibawa untuk dijual di gerai Sungai Ara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE