LANGKAWI – Tiga pemuzik jalanan ditahan bersama tiga pokok ganja dan ketulan mampat bahan tersebut dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Lembu, Kedawang di sini hari ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 pagi itu, polis menahan dua suspek lelaki berusia 24 dan 26 tahun serta suspek wanita berusia 25 tahun.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, hasil pemeriksaan menemui
pokok ganja ditanam di dalam pasu di hadapan rumah.
“Kita juga menjumpai satu beg mengandungi 17 peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan jumlah berat kira-kira 178.14 gram (g).
“Beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk menghisap ganja dan alat timbangan digital turut ditemui di atas lantai ruang tamu rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua suspek yang merupakan warga tempatan didapati positif dadah jenis ganja.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6B, Seksyen 39A(2), dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE