GEORGE TOWN – Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang runner insurans dengan menggunakan sebilah parang Ahad lalu.
Tertuduh, Ong Eng Hock, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.
Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas seorang remaja berusia 19 tahun dengan menggunakan sebilah parang iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.
Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan tersebut di tepi Jalan Masjid Negeri, daerah Timur Laut pada pukul 1.10 pagi pada 14 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jika sabit bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Mohammad Khalid kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 22 September ini sebagai sebutan semula kes.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan video kejadian mangsa yang dikatakan mengalami kecederaan putus urat pergelangan tangan kanan setelah diserang suspek di beberapa media sosial sejak Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE