KOTA BHARU – Kelantan United FC (KUFC) membelasah Selangor FC II dengan jaringan 4-0 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Turun dengan misi memburu kemenangan, KUFC terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-14 menerusi pemain tengah import, Julius Ziggy Ofori hasil serangan balas pantas.
Ziggy Ofori sekali lagi menjaringkan gol kira-kira empat minit kemudian menerusi rembatan kencang pada jarak 25 meter dari gawang Selangor FC II.
Ketinggalan dua jaringan awal, Selangor FC II cuba bangkit, namun gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah sehingga tamat separuh masa pertama.
Bermula babak kedua, skuad pelawat terus melakukan serangan bertali-arus ke gawang KUFC, sebalik tuan rumah hampir mendapat gol ketiga pada minit ke-52.
Bagaimanapun, percubaan penyerang dari Nigeria, Njoku Jacob itu sekadar menggegar tiang gol meskipun sudah berjaya menewaskan penjaga gawang Selangor FC II, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dalam situasi satu lawan satu.
Bagaimanapun, Jacob membalas kekecewaan tersebut melalui jaringan gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-80 selepas menerima hantaran menarik daripada Nik Akif Syahiran Nik Mat. – KOSMO! ONLINE.