KUALA SELANGOR – Koperasi di kawasan bandar terutamanya disarankan menceburi bidang pendidikan dengan membuka prasekolah dan sekolah rendah integrasi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, langkah disifatkan dinamik itu dan serampang dua mata dalam membantu mengurangkan kepadatan jumlah murid selain satu cabang baharu perniagaan yang kebiasaannya diceburi pihak swasta.
Katanya, ini juga selari dengan hasrat kementerian supaya tidak tertinggal dalam dunia pendidikan.
“Bidang pendidikan adalah amat jarang diceburi koperasi. Kalau tengok di bandar memang tidak cukup sekolah dengan contohnya di Puncak Alam ini terdapat sekolah rendah sekalipun dengan jumlah pelajar mencecah 3,000 orang.
“Ini menunjukkan ibu bapa di bandar lebih memberikan keutamaan kepada pendidikan dan kalau buka sekolah swasta pun sambutan amat baik,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Sekolah Rendah Islam Az-Zahrawi Puncak Alam yang dimiliki Koperasi Felda Bukit Cherakah Selangor Berhad.
Jelas Noh, pembukaan sekolah oleh koperasi juga peluang pekerjaan kepada generasi pertama dan generasi kedua melibatkan anak-anak ahli koperasi mendapatkan pendidikan sewajarnya.
Ujarnya, pada masa depan sekiranya terdapat sekolah menengah milik koperasi akan memberikan peluang kepada lepasan pelajar menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi.
“Tambahan, kita juga mempunyai Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) dan menjadi harapan saya supaya koperasi secara khususnya terlibat dalam pelbagai bidang termasuk sektor pendidikan,” katanya.
Ketika mengulas dalam membantu koperasi yang tidak aktif, Noh menegaskan supaya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membawa tokoh-tokoh koperasi dalam memberikan nafas baharu supaya koperasi tersebut terus relevan.
“Kalau untuk bergabung itu tidak boleh sebab koperasi milik ahlinya masing-masing namun kita akan cuba bawa tokoh-tokoh dalam memberikan semangat dalam membangunkan mereka,”katanya. -KOSMO! ONLINE