PETALING JAYA – Konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi diibaratkan seperti indah khabar dari rupa.
Tinjauan Kosmo! di platform media sosial hari ini mendapati pelbagai maklum balas diberikan orang ramai yang rata-ratanya kurang berpuas hati dengan suasana konsert penyanyi antarabangsa itu.
“Harga tiket kami beli bukan murah, ratusan ringgit dan sistem bunyi, audio pula buat hal, suara penyanyi tenggelam timbul. Rugi duit,” luah Marshila.
Selain itu, ada juga pengunjung luah rasa kesal apabila jarak pentas utama dengan kedudukan penonton terlalu jauh apabila terdapat ruang kosong yang besar dibiarkan di bahagian tengah.
“Kali pertama menyesal pergi konsert, bayar tiket lebih RM500, duduk punya jauh, macam tengok bola dan sepatutnya kena bagi pakej sekali teropong,” ujar Azfar.
Sementara itu, di Twitter, tanda pagar ‘BillieEilishTourMalaysia’ menjadi trending sejak malam tadi. – KOSMO! ONLINE