KUALA LUMPUR – MyDigital Corporation (MyDigital) bakal mewujudkan inisiatif perkongsian dan kerjasama di antara sektor awam dengan swasta untuk merealisasikan matlamat dan aspirasi bersama di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MDEB).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fabian Bigar berkata, untuk menjayakan inisiatif tersebut, Pasukan Petugas Projek Pemangkinan MyDigital telah ditubuhkan untuk bertanggungjawab menetapkan kriteria bagi pemilihan projek pemangkin merentas semua sektor industri dan domain teknologi.
Menurut beliau, usaha itu bertujuan untuk memudah dan menangani cabaran tertentu yang mungkin dihadapi syarikat semasa menerima guna teknologi digital dan infrastruktur.
“Semua projek ini perlu memberikan impak awam yang jelas dan ketara di samping memacu pertumbuhan ekonomi digital pascapandemik,” katanya pada sidang media mengenai Ekspo dan Forum Negara Pintar 2022 di sini semalam.
Mengenai ekspo tersebut, beliau berkata reruai MyDigital akan mempamerkan beberapa usaha yang sedang dijalankan untuk memastikan inisiatif kerajaan seperti MDEB dan Dasar 4IR Negara dapat dilaksanakan dalam kehidupan sebenar.
“Kami juga akan mengetengahkan rakan kongsi sektor swasta kami dalam projek pemangkinan MyDigital.
“Kami berharap lebih banyak syarikat Malaysia akan berinovasi dan bersifat menyesuai supaya aspirasi mereka terus berjaya terutama dengan menerima guna pendigitalan,” katanya.
Fabian yakin, ekspo dan forum itu akan menjadi peluang terbaik untuk perniagaan mewujudkan jalinan dan memperoleh rakan kongsi global dan prospek, manakala delegasi pula akan mempunyai pandangan jauh mengenai teknologi dan penyelesaian terkini yang tersedia dalam pasaran.
“Hal ini selaras dengan objektif dasar MDEB untuk menggalakkan peserta industri menjadi pencipta, pengguna dan penerima guna model perniagaan inovatif,” katanya.
MDEB dilancarkan pada Februari 2021 sebagai komponen untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12, dengan objektif untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030 selain dibantu oleh digital dan dipacu teknologi menerusi tiga fasa.
Anggota delegasi serta peserta berjumlah lebih 20,000 dijangka mengambil bahagian dalam acara antarabangsa secara peribadi di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu.
Acara tiga hari mulai 27 September yang bertemakan ‘Mempercepat Transformasi Digital’ itu akan mengetengahkan 10 zon utama iaitu tenaga pintar, komunikasi pintar, pembuatan pintar dan IR4.0, kerajaan pintar, tenaga pintar, mobiliti pintar, keselamatan pintar, bangunan pintar, penjagaan kesihatan pintar dan pendidikan pintar.
Ekspo itu juga akan menjadi hos bagi Kongres Bandar Pintar ASEAN 2022 yang menampilkan lebih 50 penceramah dan ahli panel dari 10 negara dengan 500 perwakilan yang mewakili datuk bandar, pegawai bandar dan perancang. -KOSMO!ONLINE