SHAH ALAM – Kerajaan tidak berpeluk tubuh membantu Keluarga Malaysia dalam mendepani isu kos sara hidup dan inflasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa berusaha memastikan Keluarga Malaysia kalis cabaran dengan pelbagai strategi jangka pendek, sederhana dan panjang dilaksanakan melibatkan kerjasama semua kementerian, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh Keluarga Malaysia.
Katanya, hasilnya dapat dilihat apabila ekonomi negara kita merupakan yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini.
“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global. Justeru, kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan sepenuhnya.
“Bagaimanapun, kadar inflasi negara berada pada paras 3.4 peratus dan angka ini merupakan antara yang terendah di Asia Tenggara.
“Bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap Keluarga Malaysia, kerajaan telah membelanjakan peruntukan subsidi sebanyak RM77.3 bilion yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah negara meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik,” katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Selangor di tapak pekarangan Stadium Shah Alam, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Ismail Sabri turut menyempurnakan penyerahan beberapa bantuan termasuk sumbangan kepada 10 kanak-kanak dan remaja yang menjadi yatim atau yatim piatu akibat Covid-19.
Ismail Sabri memaklumkan Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh sebanyak 44 peratus kepada RM132.8 bilion pada Jun 2022.-KOSMO! ONLINE