MELAKA – Enam penghuni sempat menyelamatkan diri dalam keadaan sehelai sepinggang selepas kediaman mereka berhampiran pangsapuri Bukit Piatu di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, kesemua mangsa berusia dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Seorang penghuni, Cheah Wei Liang, 43, ketika ditemui berkata, meskipun kehilangan semua harta benda dia tetap bersyukur apabila sempat menyelamatkan kakak serta ibunya yang telah berusia 60 tahun.
“Sejurus saya membawa kakak dan ibu keluar dari rumah, saya cuba untuk menyelamatkan beberapa barangan namun gagal.
“Api marak dengan cepat dan saya melecur sedikit di bahu,” ujarnya yang bekerja sebagai juruteknik.
Seorang lagi penghuni, Gan Kim Lai, 60, pula memberitahu, ketika kejadian dia berada di sebuah restoran berdekatan sebelum dimaklumkan oleh jiran mengenai kebakaran tersebut.
“Tiba-tiba tadi (malam tadi) bekalan elektrik terputus jadi saya keluar dari rumah dan minum di restoran berhampiran.
“Tidak lama kemudian jiran telefon beritahu rumah saya sudah hangus terbakar, saya bergegas pulang tetapi tiada apa lagi (barang) yang dapat diselamatkan,”katanya.
Sementara itu, Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.34 malam.
Katanya, sepasukan 34 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan Melaka Tengah bersama-sama tiga jentera serta Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kita dapati tiga buah rumah telah musnah sepenuhnya dan sebuah lagi terjejas sebanyak 30 peratus.
“Kebakaran merebak dengan cepat kerana struktur rumah adalah separa kayu, namun kita dapat mengawal kebakaran kira-kira 11 minit sebelum ia menjejaskan dua lagi rumah berhampiran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi. – KOSMO! ONLINE