LONDON – Biarpun dilanda pandemik Covid-19 sejak beberapa musim lalu, namun status kewangan pasukan Liga Perdana Inggeris dilihat masih lagi stabil apabila mereka masih mampu untuk terus berbelanja besar pada jendela perpindahan kali ini.
Kejayaan Wolverhampton Wanderers mendapatkan khidmat pemain baharu, Matheus Nunes yang bernilai £38 juta (RM204.65 juta) menyaksikan kelab-kelab di England setakat ini sudah membelanjakan dana sebanyak £1.4 bilion (RM7.4 bilion) untuk mendapatkan pemain setakat ini.
Jumlah berkenaan menyaksikan pasukan EPL telah jauh meninggalkan pasukan di beberapa liga utama lain Eropah apabila La Liga hanya membelanjakan £371 juta (RM1.9 bilion) sementara Bundesliga £424 juta (RM2.28 bilion), manakala Serie A £559 juta (RM3.01 bilion).
Ketika jendela perpindahan masih berbaki lebih 10 hari lagi, EPL dijangka mampu untuk mencipta sejarah baharu nilai perpindahan mengatasi rekod paling tinggi pernah dicatatkan pada 2017 apabila mereka berbelanja sebanyak £1.43 bilion (RM7.70 bilion).
Pasukan yang baharu dinaikkan pangkat, Nottingham Forest dilaporkan sudah membawa masuk 12 pemain baharu dengan perbelanjaan hampir £100 juta (RM538.56 juta) untuk memastikan mereka kompetitif.
Sementara itu, West Ham juga dilaporkan sudah berjaya menandatangani enam pemain baharu pada jendela kali ini dengan mengeluarkan dana sebanyak £107.5 juta (RM578.95 juta) yang turut menyumbang kepada jumlah besar keseluruhan.
Mengimbas sejarah sebelum ini, ketika kali pertama EPL diperkenalkan pada musim 1992/93, 22 pasukan yang bertanding ketika itu hanya membelanjakan sebanyak £55.5 juta (RM298.90 juta) untuk mendapatkan pemain.
Nilai tersebut adalah sama dengan harga yang dibayar oleh Chelsea ketika mereka mendapatkan khidmat pemain pertahanan Brighton, Marc Cucurella bulan lalu. – AGENSI