PENGALAMAN pahit ditipu pengilang susu ketika perniagaan susu kambingnya mula dikenali sebelum ini mengajar Nur Iliyanie Redzuan untuk tidak mudah mempercayai orang yang baru dikenali.
Bercerita lanjut, menurut anak kelahiran Langkawi, Kedah itu, pada masa itu, dia ditipu hampir RM30,000 oleh sebuah pengilang dan ia antara cabaran yang betul-betul membuatkan dia ‘terduduk’ seketika.
“Bukan setakat ditipu, barang yang dikeluarkan juga kebanyakannya rosak dan tidak boleh dijual.
“Apa yang berlaku saya terima dan ambil pengajaran serta iktibar daripadanya.
“Pada masa sama, ia turut mengajar saya untuk tidak mudah percaya kepada seseorang terutama mereka yang baru kita kenal,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurutnya, minatnya untuk mengeluarkan produk susu kambing sendiri bermula sewaktu hamil anak pertama.
Ujarnya, pada ketika itu dia suka minum susu kambing kerana mempunyai pelbagai khasiat.
Katanya, pelbagai jenama susu kambing pernah dicuba dan diminumnya, tetapi hanya menawarkan perisa asli.
“Jujur tekak saya tak berapa boleh minum perisa asli. Jadi, saya bercadang keluarkan sendiri susu kambing pelbagai perisa pada ketika itu.
“Jadi, bermula dari situlah, saya mula membuat kajian dan pembangunan untuk produk susu kambing yang ingin dikeluarkan.
“Kalau dikira-kira, hampir sedekad juga saya sudah berniaga susu kambing berjenama Goatgeos dengan menawarkan beberapa perisa seperti asli, vanila, strawberi dan terbaharu kopi putih bersama manjakani,” katanya kepada Aura.
Kata Nur Iliyanie, minatnya terhadap dunia perniagaan mula timbul kerana ingin mencari duit saku bagi menampung perbelanjaan ketika belajar.
Apa yang membuatkan wanita ini lebih bersyukur adalah dapat membantu orang lain berkongsi rezeki dengan menjual produk tersebut.
“Bersyukur dengan rezeki yang diberikan Ilahi hingga ke saat ini.
“Saya berbangga kerana dapat membantu ramai wanita dan pelajar menjana pendapatan hasil jualan produk susu kambing.
“Alhamdulillah, daripada tiada ejen dan staf, kini syarikat sudah ada lebih 1,000 pengedar aktif.
“Saya sasarkan jumlah tersebut terus meningkat kepada 3,000 orang sebelum akhir tahun ini, disumbang dengan faktor jualan yang begitu menggalakkan,” katanya.
Menurut Nur Iliyanie lagi, setiap kali dirinya berasa down dan hampir berputus asa serta tiada semangat, anak-anaklah yang membuatkan dirinya kembali bersemangat untuk terus melakar kejayaan.
“Saya menjanjikan kehidupan yang terbaik untuk anak-anak dan tidak boleh berputus asa selagi apa yang diimpikan untuk mereka belum tercapai,” ujarnya.
Dalam mempelbagaikan cabang bisnes, wanita cekal ini akan membuka kafe berkonsepkan vendor pada bulan hadapan.
Pembukaan kafe tersebut ujarnya, dapat membantu suri rumah dan peniaga dari rumah untuk menjual makanan mereka di situ nanti.
“Bagi saya, apa yang kita dapat perlu dikongsikan dengan orang lain, barulah mendapat keberkatan.” ujarnya sekali gus menutup bicara. – KOSMO! ONLINE