AKTRES Han Ji-min sememangnya terkenal dengan sifatnya yang suka mengambil berat, prihatin dan baik hati.
Terbaharu, tindakannya membantu pusat kebajikan orang kelainan upaya (OKU) menuai rasa hormat netizen dalam media sosial.
Menurut agensinya BH Entertainment, Han Ji-min telah memberi sumbangan sebanyak 50 juta won (RM170, 000) kepada Persatuan Pengumpulan Dana Bersama Kebajikan Sosial Seoul.
Bantuan derma tersebut akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan orang kelainan upaya di seluruh Seoul bagi menampung perbelanjaan mereka.
“Mereka benar-benar terkesan dan perlukan sumbangan daripada kita semua. Jadi dengan bantuan sekecil ini, saya harap sedikit sebanyak dapat meringankan keperluan,” kata Ji-min ringkas.
Rata-rata pengikut serta peminatnya melahirkan rasa terharu dan hormat kepada idolanya itu.