fbpx

Guru besar didakwa buat tuntutan palsu RM900

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh Lee Wai Teng (dua dari kanan) di dakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini atas tuduhan membuat tuntutan palsu.

KUANTAN – Seorang guru besar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyalahgunakan jawatan untuk membuat tuntutan palsu bernilai RM900 berkaitan pembekalan makanan bagi program sekolah.

Tertuduh, Lee Wai Teng, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pada 6 Disember 2017, tertuduh telah memberikan kepada seorang ejen yang juga pembantu tadbirnya satu dokumen set tuntutan bayaran pembekalan makanan untuk program klinik sukan prasekolah bertarikh 21 November 2017 yang mempunyai kepentingan kepadanya.

Dokumen tersebut mempunyai butir-butir palsu mengenai pembekalan makanan bagi program tersebut yang sebenarnya pembekalan makanan tersebut tidak dilakukan.

Wai Teng didakwa melakukan kesalahan tersebut di Sekolah Jenis (J) Kebangsaan Cina Sungai Lui di Raub.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000.

Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Semen manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.

Dalam prosiding, Kamariah memohon mahkamah menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Shyue Chien memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh masih berkhidmat sebagai guru besar dan menanggung dua anak serta ibu berusia 90 tahun.

Ahmad Zamzani kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Raub setiap awal bulan bermula September dan menyerahkan pasport perjalanan segera pada 7 September depan.

Mahkamah menetepkan kes disebut semula pada 15 September depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI