fbpx

Gajah ‘serang’ kampung Orang Asli, banyak rumah rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN rumah penduduk yang dirosakkan gajah liar di Kampung Satut, Pos Perwor, Sungai Siput Isnin lalu.

SUNGAI SIPUT – Penduduk Orang Asli di Kampung Satut, Pos Perwor dekat sini kini dibelenggu kebimbangan apabila kawanan gajah liar menceroboh masuk ke kampung mereka dan merosakkan beberapa buah rumah.

Tinjauan di kampung yang dihuni 140 penduduk itu mendapati, empat buah rumah rosak selain dewan, manakala tanaman pisang pula musnah akibat ‘serangan’ mamalia itu yang dipercayai mahu mencari makanan.

Seorang penduduk, Tinah Pandak, 50, berkata, kejadian itu disedari awal pagi Isnin sekitar pukul 1 pagi apabila dia dikejutkan jeritan jiran mengenai kehadiran kawanan gajah di luar rumahnya.

Katanya, dia yang ketika itu sedang tidur segera mengejutkan ahli keluarga lain dan mereka berlari ke surau untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu saya tidak fikir apa-apa, hanya mahu segera keluar kerana bunyi gajah itu terlalu hampir, betul-betul di tepi rumah.

“Saya tidak nampak berapa ekor gajah yang ada kerana ­ke­adaan gelap, tapi apa yang diberitahu jiran, ada seekor gajah besar di tepi rumah, manakala seekor anak gajah pula masuk ke rumah melalui pintu belakang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Menurutnya, serangan gajah itu bukan sahaja menyebabkan pintu dan dinding rumahnya rosak, malah barang-barang dapur juga bertaburan di atas lantai dan luar rumah.

“Gajah itu mungkin masuk ke dalam rumah untuk cari makanan, sebab itu habis almari dan barang-barang dapur dipecahkan,” katanya yang kini menum­pang teduh di surau kampung.

Sementara itu, Nasir Busu, 47, berkata, dia menyedari kehadiran mamalia itu selepas mendengar bunyi aneh termasuk bunyi kayu patah dan buluh dipijak.

Katanya, selepas menyedari bunyi itu datang daripada kawanan gajah, dia dan isteri segera keluar dan menumpang tidur di rumah saudaranya di Kampung Talang.

“Ada satu malam tu, saya tidak sedar langsung ada seekor gajah di luar rumah. Selepas terdengar bunyi pelik, saya intai di celah dinding dan terkejut apabila lihat mamalia itu betul-betul di tepi rumah,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Satut, Jamil Itam, 54, memberitahu, kehadiran gajah liar di kampung berkenaan dipercayai berpunca daripada habitat haiwan berkenaan yang terganggu ekoran penerokaan hutan untuk penanaman durian dan getah.

Katanya, aduan berkaitan perkara itu telah pun dibuat kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi tindakan lanjut.

“Kaum lelaki di kampung ini telah beberapa malam berkawal kerana kami bimbang gajah itu akan masuk lagi dan ceroboh rumah penduduk,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI