TANJONG MALIM – Atlet Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muhammad Fakhrul Abdul Aziz dinobatkan sebagai raja pecut baharu pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 selepas melakukan catatan 10.37 saat sebentar tadi.
Pelari berusia 21 tahun menyifatkan kemenangan pada aksi 100 meter (m) akhir di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tersebut adalah permulaan terbaik selepas dua tahun tidak beraksi gara-gara pandemik Covid-19.
Justeru, atlet dari kelahiran Pulau Pinang tersebut berharap kejayaan itu sebagai perangsang terbaik menuju ke Sukan Malaysia (SUKMA) yang berlangsung pada bulan depan.
“Alhamdulillah ini rezeki Allah bagi. Walaupun saya tak bertanding lebih dua tahun atas sebab-sebab tertentu, tapi saya berjaya melakukannya di sini
“Pada perlumbaan akhir itu, saya langsung tidak memikirkan mengenai lawan saya meskipun terdapat pelari kebangsaan. Apa yang saya mahu buat adalah untuk berlari dengan baik.
“Selepas ini saya mahu fokus kepada SUKMA dan mahu buat lebih daripada ini untuk mencerahkan peluang saya meraih tempat dalam skuad kebangsaan,” katanya.
Perak dimenangi atlet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Mohamad Raimi Mustaffa dengan catatan masa 10:87s manakala gangsa dimenangi wakil tuan rumah Muhammad Yusridzwan Danial Yusof (10.88s).
Sementara itu, gelaran ratu SUKIPT 2022, menjadi milik atlet dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Nur Aishah Rofina Aling yang menamatkan perlumbaan 100m wanita dengan catatan mata 12.25s.
Perak dan gangsa dimenangi atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Eng May Xin Winnie (12.59s) dan Darshini K. Murugan (13.04s).
“Alhamdulillah saya gembira dengan perlumbaan saya hari ini. Untuk pengetahuan catatan masa yang dilakukan saya ini merupakan catatan peribadi terbaik saya tahun ini.
“Selepas ini saya mah memberi tumpuan untuk buat yang terbaik pula di SUKMA yang akan berlangsung pada bulan depan,”ujarnya. KOSMO! ONLINE