GUA MUSANG – Lima sekeluarga yang sedang nyenyak tidur nyaris rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kantin dan dua buah rumah kongsi kilang kayu di Kawasan Perindustrian Gua Musang di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, dua buah rumah kongsi yang dipercayai menjadi tempat tinggal enam pekerja warga asing hangus terbakar.
Seorang mangsa menghuni rumah kantin pekerja kilang kayu, Rosuhaizi Zakaria, 51, berkata, ketika kejadian dia dan empat lagi ahli keluarganya sedang tidur.
Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari rumah kongsi itu dan dia hanya menyedari kejadian berlaku apabila terdengar letupan kecil dan atap zink yang sedang terbakar.
“Saya sedang tidur bersama ahli keluarga lain di kantin terbabit dan tersedar apabila bunyi bising. Saya melihat api sedang marak membakar rumah kongsi yang berada di kawasan berhampiran.
“Saya mengejutkan ahli keluarga lain dan kami berlari keluar sehelai sepinggang tanpa menyelamatkan barangan lain,” katanya.
Menurut Rosuhaizi, dia mengalami kerugian lebih RM20,000 selepas semua peralatan berniaga termasuk dua buah motosikal miliknya hangus terbakar.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 10.57 malam.
Katanya, seramai 13 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 10 kilometer dari balai.
“Semasa tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.09 malam, dua buah rumah kongsi dan sebuah rumah kantin pekerja sedang terbakar.
“Kebakaran itu menyebabkan 99 peratus rumah musnah dan kebakaran berjaya dikawal setengah jam kemudian,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa cedera dalam kejadian manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE