BERA – Dua sahabat yang hilang dibawa arus deras ketika mandi di Sungai Triang berdekatan Kampung Kerayong di sini pada Selasa lalu akhirnya ditemui.
Mayat mangsa pertama, Muhammad Nik Iqmal Shah Ismail, 15, dijumpai pada pukul 10.30 malam kelmarin kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Rakannya, Muhammad Danial Isryad Norazlan, 11, pula ditemui pada pukul 1.40 pagi semalam.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa kedua ditemui dalam keadaan terapung oleh orang awam.
“Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kosmo! Online pada Selasa lalu melaporkan dua lelaki berusia belasan tahun hilang selepas dihanyutkan arus Sungai Triang.
Kejadian pada pukul 3.30 petang itu berlaku ketika dua mangsa bersama empat rakan mandi menggunakan pelampung tayar di kawasan berpasir di sungai tersebut.
Berita berkaitan: Dua hilang dihanyutkan arus Sungai Triang
Kejadian berlaku apabila seorang daripada mangsa dihanyutkan arus, manakala rakannya cuba menyelamatkan remaja itu. Bagaimanapun, kedua-dua mereka hilang dibawa arus.
Sementara itu, ibu Muhammad Danial, Wan Noraini Badarudin, 34, berkata, sewaktu berjalan berdekatan pokok ara, gerak hatinya juat mengatakan jasad anaknya ada di situ.
“Naluri kuat mengatakan anak sulung saya berada di dasar sungai berdekatan pokok itu.
“Tiap-tiap kali lalu, hati saya berdebar-debar. Saya beritahu suami sebelum memaklumkan kepada penduduk,” katanya.
Menurut wanita itu, selain pasukan polis dan bomba, operasi mencari dan menyelamat turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung.
Tambahnya, suaminya, Norazlan Ramli, 45, turut memanggil nama anak mereka di tebing sungai dan melaungkan azan.
“Bagaimanapun, keadaan suami begitu lemah sejak anak kami hilang di Sungai Triang pada Selasa lalu.
“Saya berasa terharu apabila melihat ada penduduk yang menggunakan bot sendiri, ada yang menyelam selain mencari dengan menggunakan batang buluh di dasar sungai.
“Saya amat berharap sewaktu mencucuk (dasar) mengguna buluh, anak saya ditemui. Saya reda dan terima hakikat kehilangan ini,” ujarnya.