KULIM – Taktik licik pemandu lori menutup tangki minyak tambahan dalam kenderaan itu dengan kepingan kayu palet terbongkar apabila dia ditahan ketika sedang mengisi 2,719 diesel bersubsidi ke dalam tangki tersebut di sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri, Padang Serai di sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 2.45 petang itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kulim
Pengarah KPDNHEP negeri, Affendi Rajini Kanth berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas sebuah lori 16 tan yang sedang dalam pengisian diesel di salah sebuah pam di situ.
“Kita mendapati lori tersebut membawa muatan sebuah tangki tambahan berkapasiti 4,000 liter dengan minyak yang diisi melalui tangki asal kenderaan akan disedut naik menggunakan pam ke dalam tangki tambahan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan mendapati pemandu lori berusia 40 tahun itu gagal mengemukakan permit khas iaitu satu surat kebenaran bertulis yang dikeluarkan Pengawal Bekalan KPDNHEP. – KOSMO! ONLINE