fbpx

Taktik menyamar wakil syarikat kutip wang jualan terbongkar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shafa'aton (dua kanan) ketika sidang akhbar di IPD Sungai Buloh di sini hari ini.

SUNGAI BULOH – Tindakan seorang lelaki menyamar sebagai wakil mengumpul wang syarikat akhirnya terbongkar selepas dia ditahan polis dalam serbuan di Kota Emerald, Rawang pada 11 Ogos lalu.

Difahamkan, lelaki terbabit akan menyamar sebagai wakil syarikat atau bank dan berpura-pura menghubungi pengurus melalui panggilan telefon di hadapan pekerja yang berada di hadapan kaunter bagi meyakinkan mangsa sebelum meminta wang jualan diserahkan kepadanya.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang pekerja di sebuah kiosk milik syarikat telekomunikasi pada 18 Januari lalu.

“Pengadu memberitahu, suspek datang ke kiosk ditempatnya bekerja dan mengaku sebagai juruteknik syarikat telekomunikasi yang sama dan mahu mengutip wang jualan menyebabkan wanita berkenaan ragu-ragu untuk menyerahkan wang berkenaan.

“Suspek kemudian menyuruh pengadu tunduk di kaunter dan pengadu melihat lelaki terbabit membawa pisau. Suspek mengarahkan pekerja berkenaan menyerahkan wang sebelum dia terus melarikan diri,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, susulan kejadian, polis telah menjalankan serbuan di Kota Emerald, Rawang kira-kira pukul 12.30 tengah malam dan merampas telefon bimbit serta pakaian yang digunakan suspek.

“Modus operandi suspek adalah menyamar sebagai wakil syarikat atau bank untuk mengutip wang jualan dan akan berpura-pura dalam keadaan tergesa-gesa dengan alasan mahu memasukkan wang sebelum proses penutupan bil pada hari berkenaan.

“Suspek dipercayai menyasarkan kedai, farmasi, klinik dan lain-lain premis yang menggunakan peti wang tunai dengan menjalankan kegiatan itu pukul 4 petang hingga 7.30 malam sekitar Selangor sejak pertengahan tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit dengan sekurang-kurangnya 40 kes jenayah termasuk jenayah komersial di Kuala Lumpur dan Selangor membabitkan kerugian berjumlah RM94,175.

“Semakan dilakukan mendapati suspek berkenaan mempunyai tujuh rekod jenayah termasuk dikehendaki bagi kes penipuan. Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek negatif dadah.

“Suspek kini diserahkan kepada IPD Kuala Selangor untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun tanpa senjata api,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI