SEBERANG PERAI – Pulau Pinang melakar sejarah tersendiri apabila seramai 611 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 dari 11 buah sekolah di negeri itu mencapai kelulusan 100 peratus.
Daripada seramai 2,048 calon yang layak mendapat sijil juga, 82 daripadanya telah menunjukkan prestasi yang cemerlang apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan berkenaan.
Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan negeri (Sektor Pengurusan Sekolah), Wan Sajiri Wan Hassan, dalam satu sidang akhbar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin, di Bukit Mertajam di sini petang tadi.
Menurut Wan Sajiri, Pulau Pinang juga merekodkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) membanggakan iaitu 2.85, lebih tinggi daripada PNGK peringkat nasional iaitu 2.79 selain PNGK negeri sebelum ini iaitu 2.83 (2020) dan 2.79 (2019).
Secara keseluruhannya kata beliau, hanya 10 daripada keseluruhan 2,049 calon dari sekolah milik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) gagal mendapat sijil kali ini.
“Saya yakin kejayaan yang dikecapi ini adalah hasil usaha dan perancangan rapi pelajar, ibu bapa, guru, pentadbir sekolah, masyarakat, petugas peperiksaan serta warga Jabatan Pendidikan Negeri yang telah menguruskan pengoperasian peperiksaan dengan jayanya dan mematuhi norma baharu,” ujarnya. KOSMO! ONLINE
HABIS//