fbpx

STPM : 45 sekolah di Kelantan catat kelulusan 100 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zin (tengah) bersama warga JPN Kelantan menunjukkan laporan keputusan STPM 2021 di JPN Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Sebanyak 45 daripada 60 buah sekolah di Kelantan mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2021.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd. Zin Halim berkata, meskipun tiada anugerah calon terbaik di peringkat nasional atau negeri, namun Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas telah dinobatkan sebagai sekolah terbaik dalam peperiksaan tersebut.

Menurutnya, seramai 13 calon dari sekolah berkenaan telah mendapat kelulusan penuh dengan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 melibatkan lapan calon perempuan dan lima pelajar lelaki.

“Kelantan telah mencatatkan sebanyak 99.36 peratus kelulusan penuh iaitu 0.81 peratus mengatasi kelulusan peringkat nasional yang dicatatkan pada 98.55 peratus.

“Peratus kelulusan penuh tersebut melibatkan seramai 3,399 calon di seluruh negeri ini sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.01 peratus berbanding tahun 2020 lalu,”katanya pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2021 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Bandar Baru Tunjong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Zin berkata, calon yang mendapat keputusan lima prinsipal dan empat prinsipal bagi STPM 2021 lalu seramai 2,835 calon atau 82.92 peratus berbanding 2,993 calon atau 80.87 peratus bagi 2020 sekali gus menunjukkan peningkatan peratusan sebanyak 2.05 peratus.

Katanya, PNGK STPM 2021 untuk calon sekolah kerajaan di negeri ini adalah 2.92 dan ia mengatasi 0.13 mata berbanding peringkat nasional yang dicatatkan pada 2.79 mata.

“Peratus kelulusan empat dan lima prinsipal bagi sekolah kerajaan negeri ini juga mengatasi pencapaian di peringkat nasional sebanyak 9.69 peratus. Selain itu, enam calon STPM pelajar Orang menunjukkan pencapaian yang membanggakan.

“Dua pelajar Orang Asli yang terbaik itu adalah calon dari SMK Tengku Indera Putera 1 Gua Musang iaitu Mangli Alun dengan PNGK 2.42 dan Rodif Seli dengan PNGK 2.17. Keputusan yang dicatatkan oleh dua calon Orang Asli ini kebiasaannya mampu memberi peluang untuk mereka menceburi bidang pendidikan sebagai guru dan menyumbang bakti kepada masyarakat di pedalaman,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI