fbpx

Sindiket pelacuran warga Afrika tumpas diserbu JIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita warga asing dari Uganda dan Tanzania yang berjaya ditahan JIM dalam serbuan di sebuah kondominium mewah di Cyberjaya semalam. FOTO IHSAN JIM

PUTRAJAYA – Tindakan licik sindiket pelacuran menjadikan sebuah kondominium mewah sebagai sarang pelacuran warga asing tidak berpanjangan selepas kediaman yang terletak di Cyberjaya, Selangor itu diserbu Jabatan Imigresen (JIM) petang semalam.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, serbuan kira-kira pukul 4 petang yang dijalankan oleh sepasukan 20 pegawai JIM itu adalah susulan daripada maklumat awam diperolehi pihaknya pada hari yang sama.

“Dalam serbuan itu, seramai 10 wanita warga asing terdiri daripada tujuh wanita Tanzania dan tiga wanita Uganda berusia 23 hingga 37 tahun telah berjaya ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati, tiga wanita Uganda berkenaan disyaki terlibat dalam aktiviti pelacuran.

“Dua wanita yang masing-masing warganegara Tanzania dan Uganda turut dikenal pasti berperanan sebagai ‘ibu ayam’ atau orang tengah dalam aktiviti pelacuran ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, pasukan serbuan turut merampas sebanyak sembilan naskah pasport, 13 buah telefon bimbit, masing-masing satu kad akses dan kad pelajar, empat set kondom serta sembilan buah buku nota yang merekodkan bukti langganan seks.

“Siasatan awal mendapati sembilan daripada wanita ini masuk ke Malaysia secara sah sebagai pelancong manakala seorang lagi masuk ke Malaysia sebagai pelajar antarabangsa di sebuah pusat bahasa di ibu negara.

“Sindiket ini dikesan menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelajar antarabangsa dan lelaki benua Afrika terutamanya dari Nigeria dengan kadar bayaran RM200 hingga RM500 sekali langganan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, kesemua tahanan seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya untuk siasatan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Jabatan ini tidak menolak adanya sindiket pelacuran warganegara asing terutama dalam kalangan pelancong dan pelajar antarabangsa dari Benua Afrika. Susulan daripada operasi ini, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan dalang sebenar di sebalik aktiviti pelacuran serta rangkaian sindiket ini.

“Orang ramai dipohon untuk terus bekerjasama dan menyalurkan aduan berkaitan aktiviti warga asing yang tidak bermoral dan melanggar undang-undang negara supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan,” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI