fbpx

Sekolah diberi amaran tidak sorok kes buli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Radzi ketika bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Portal Aduan Buli secara rasmi dan merasmikan Program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14(1), Putrajaya hari ini./ FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kesemua 10,227 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara diberi amaran agar tidak cuba menyembunyikan kes buli di institusi masing-masing.

Peringatan itu ditegaskan sendiri oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin ketika berucap sebelum melancarkan Portal Aduan Buli secara rasmi, di sini hari ini.

“Bahkan apabila saya masuk kementerian ini dua tahun lalu, semua sekolah diarahkan tidak sorok kes buli jika memang betul ada melibatkan murid termasuk yang di asrama,” katanya.

Beliau dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin turut merasmikan Program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14(1).

Berdasarkan statistik polis, jenayah buli menunjukkan trend peningkatan ketara pada tahun ini dengan sejumlah 122 kes disabitkan kesalahan dari awal Januari sehingga akhir Julai lalu.

Situasi itu jauh berbeza dengan rekod sepanjang tahun lepas hanya 50 kes manakala pada 2020 pula sebanyak 122 kes, iaitu turun berbanding 244 pada 2019 dan 264 pada 2018 lepas.

Pelancaran portal itu selaras pengumuman oleh Mohd. Radzi ketika merasmikan Program Showcase Transformasi Pendidikan pada Sabtu lalu selaku inisiatif dalam menangani gejala buli.

Platform baharu itu sebagai alternatif yang dibuka 24 jam setiap hari selain melalui wadah laman sesawang rasmi kementerian, talian khas 03-88849325 dan e-mel [email protected].

Mengulas lanjut, beliau meminta pihak pentadbiran sekolah agar tidak berselindung dengan menutup kes buli yang berlaku kerana bimbangkan imej reputasi institusi mereka akan terjejas teruk.

“Perbuatan ini sebenarnya bukan hanya berlaku di Malaysia malahan terjadi di seluruh dunia kerana tiada mana-mana sekolah yang boleh kata kononnya mereka sebagai sempurna,” jelasnya.

Justeru, pelancaran portal Aduan Buli itu disifatkan sebagai amat tepat kerana sesiapa sahaja yang ada maklumat mengenai gejala tersebut boleh mengajukan aduan tanpa perlu bimbang.

Bagaimanapun, beliau berharap kemudahan itu akan digunakan sebaik mungkin dengan aduan diberikan perlu lengkap bagi memudahkan tindakan susulan diambil oleh pihak kementerian.

Sekiranya kes itu agak serius seperti melibatkan kecederaan atau kematian, ia akan diserahkan kepada pihak polis untuk penyiasatan lanjut termasuk pelaku dibawa ke muka pengadilan.

Portal baharu itu juga ujar Mohd. Radzi, boleh menerima aduan buli dari mana-mana institusi pendidikan awam lain termasuk yang dikendalikan pihak swasta selain pusat pengajian tinggi.

“Setiap aduan jika lengkap maklumat, akan dilayan dengan segera tetapi sekiranya sudah jadi kes polis, pihak kementerian akan memaklumkan pengadu mengenai status kes itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI