fbpx

PRN Johor ‘a successful failure’ – Hasni Mohammad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASNI (tengah) beramah mesra dengan ahli UMNO Bahagian Tebrau di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menyifatkan perjalanan karier politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu sebagai satu kegagalan dalam kejayaan ataupun ‘a successful failure’.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu, hal itu kerana beliau berjaya memimpin UMNO dan BN melakar kejayaan besar dalam PRN Johor sehingga layak mentadbir negeri, namun gagal menjadi Menteri Besar.

“Dulu saya ada menonton filem Apollo 13, tentang Amerika Syarikat menghantar sepasukan angkasawan ke bulan, misi tersebut gagal dan mereka terpaksa pulang ke bumi, komander misi berkenaan kata rumusan misi itu adalah satu misi yang digambarkan sebagai ‘a successful failure’.

“Begitulah perasaan saya di Johor ini, berjaya menenangkan Johor tetapi gagal nak meneruskan tugas sebagai Menteri Besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Dalam Bahagian Tebrau, di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini malam tadi.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad.

Pada PRN Johor lalu, Hasni yang berjaya mengetuai BN Johor membunuh kerajaan negeri baharu bagaimanapun tidak dilantik sebagai Menteri Besar, sebaliknya jawatan itu diserah kepada ADUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Namun, menurut bekas Menteri Besar Johor itu, perkara itu tidak menjadi isu buat dirinya kerana telah berjaya mencapai pelbagai kejayaan termasuk memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dalam PRN Johor.

“Kita berjaya bubar DUN, kita berjaya desak Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan PRN dengan segera dan kita berjaya meyakinkan pengundi-pengundi untuk kembali kepada UMNO dan BN.

“Kegagalan untuk meneruskan jawatan Menteri Besar, itu sebagai satu kegagalan dalam sejarah hidup saya secara peribadi, bukan sejarah UMNO, kerana UMNO terus berada di landasan sepatutnya.

“UMNO terus bekerjasama dengan institusi Diraja, bekerjasama dalam membentuk sebuah kerajaan yang kuat, hari ini dipimpin oleh barisan kepimpinan muda yang harus diberi ruang dan peluang untuk terus menonjolkan kebolehan dan kepimpinan mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI