fbpx

PN tidak berhasrat bawa isu tuntutan jawatan TPM kepada Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Radzi (kiri) dan Hamzah melihat portal aduan buli di SMK Putrajaya Presint 14 di sini, hari ini. / FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) tidak pernah berhasrat membawa isu tuntutan jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya diberi peluang bertemu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara tersebut disahkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika ditanya berhubung intipati perjumpaan blok berkenaan dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

“Tidak! Tidak! Perbincangan itu nanti akan lebih menjurus kepada permasalahan isu politik semasa tanah air dan bukan pun mengenai tuntutan jawatan tersebut,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin merasmikan Program Sekolahku Sejahtera: Sepakat dan Selamat.

Mereka turut melancarkan portal Aduan Buli melibatkan kerjasama dua kementerian tersebut dengan pelbagai lagi agensi lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14(1) di sini hari ini.

Isnin lalu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Ismail Sabri menipu kononnya telah bertemu delegasi PN pada awal bulan ini.

Kenyataan biadab itu ditegur bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan pertemuan tersebut bukanlah perlu kecoh dihebohkan kepada media.

Apatah lagi, empat delegasi PN itu merupakan anggota jemaah menteri yang sering berjumpa Perdana Menteri setiap kali mesyuarat mingguan Kabinet selain juga bertemunya di Parlimen.

Mengulas lanjut, Hamzah mengakui ada menulis surat kepada Ismail Sabri untuk bertemu secara rasmi namun Perdana Menteri memohon agar sesi itu ditunda dan diberikan tarikh baharu.

“Memang kita ada berjumpa tetapi beliau meminta kami sekadar bersembang santai dahulu manakala perjumpaan rasmi kelak, kita akan bentang apa yang dimandatkan oleh PN,” katanya.

Delegasi PN ujarnya, disertai Penolong Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan; Bendeharinya, Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azmin Ali.

Pertemuan itu dipercayai susulan berakhirnya perjanjian kepercayaan dan perbekalan yang dirujuk media sebagai memorandum persefahaman dengan Pakatan Harapan pada 31 Julai lalu.

Penamatan tersebut mencetuskan spekulasi kuat bahawa Perdana Menteri pada bila-bila masa sahaja sudah boleh membubarkan Dewan Rakyat untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI