KEMAMAN – Pengorbanan sepasang suami isteri yang bergilir-gilir menghantar anak perempuan sejauh 20 kilometer ke sekolah setiap hari berbaloi apabila anak mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diumumkan hari ini.
Halimatus Sa’diyah Abdul Faal, 20, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini memperolehi Penilaian Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dengan mencapai A penuh untuk semua mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Ekonomi.
Berkongsi cerita, anak sulung daripada 10 adik beradik itu berkata, dia dan adik-beradiknya akan membonceng motosikal yang ditunggang bapanya, Abdul Faal Ibrahim, 50, atau ibunya, Saleha Ashaari, 47, dari rumah mereka di Kampung Titian Berayun, Kijal, di sini seawal pukul 6.30 pagi untuk ke sekolah.
“Ayah atau ibu akan hantar saya awal sebab rumah kami jauh, kira-kira 20 kilometer ke sekolah sebelum adik-adik yang lain dengan motosikal sama.
“Biar pun ayah saya cuma bekerja sebagai buruh kasar manakala ibu pula suri rumah namun mereka amat mementingkan pelajaran anak-anak,” katanya ketika ditemui di SMK Sultan Ismail di sini hari ini.
Sementara itu, Saleha berkata, dia dan suaminya berusaha keras memastikan kelancaran Halimatus Sa’diyah untuk menuntut ilmu.
“Halimatus Sa’diyah pernah menyatakan hasrat untuk bersekolah asrama penuh sewaktu berada di tingkatan empat setelah cemerlang memperolehi 13A dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
“Ia tidak mampu kami tunaikan menyebabkan saya dan suami begitu terkilan dan berazam untuk memberi terbaik kepadanya sehingga STPM,” katanya sambil mengalirkan air mata. – KOSMO! ONLINE